Asal-usul dan struktur Catatan_Tiga_Kerajaan

Bersama Catatan Sejarawan Agung, Buku Han and Buku Han Akhir, buku ini adalah sebahagian daripada empat pensejarahan terawal dalam daftar karya Dua Puluh Empat Sejarah. Catatan ini merangkumi 65 jilid dan kira-kira 360,000 perkataan yang terbahagi kepada tiga buku, iaitu Buku Wei yang merangkumi 30 jilid, Buku Shu (15 jilid) dan Buku Wu (20 jilid). Setiap jilid disusun dalam bentuk biografi seorang dua. Jumlah ruang yang diisi biografi ditentukan oleh kepentingan tokoh berkenaan.

Chen Shou ialah pengarang asalnya yang lahir di tapak yang kini diduduki bandar Nanchong, Sichuan, di Negeri Shu. Setelah tumbangnya negeri Shu pada tahun 263, beliau menjadi Bangsawan Karya yang ditugaskan melakar sejarah Tiga Kerajaan. Setelah jatuhnya negeri Wu pada tahun 280, karyanya disanjungi oleh menteri kanan Zhang Hua. Sebelum ini, negeri-negeri Wei dan Wu juga menulis sejarah masing-masing yang dijadikan asas kepada kerya Chen Shou ini. Namun, disebabkan negeri Shu tidak melakar sejarah sendiri, apa-apa maklumat mengenainya dikarang oleh Chen seingat beliau sendiri, di samping sumber-sumber primer seperti karya Zhuge Liang yang dihimpunnya.[1] Buku ini memakai tarikh selepas kejatuhan Dinasti Han pada tahun 220 sebagai standard permulaan negeri Wei. Buku Wei menggelar para pemerintah Wei sebagai maharaja, manakala para pemerintah Shu dikenali sebagai raja, dan para pemerintah Wu pula dirujuk dengan nama masing-masing atau gelaran 'pemerintah Wu'. Ini adalah untuk mendukung kesahan kerabat diraja Jin sebagai pewaris Mandat Syurga dari Wei.